Arduino merupakan sebuah platform ‘open-source’ untuk membina prototaip berasaskan eletronik. Ini termasuklah papan mikropengawal Arduino Uno yang sangat popular dikalangan penggemar hobi elektronik. Papan mikropengawal ini boleh diprogramkan dan disambung dengan pelbagai komponen elektronik lain seperti perintang, LED, push button, mahupun sensor untuk menghasilkan reka cipta ataupun prototaip sesebuah sistem berasaskan elektronik. Menarik bukan!
Jenis-jenis papan mikropengawal Arduino
Arduino mempunyai pelbagai versi papan mikropengawal untuk pelbagai kegunaan spesifik. Namun, terdapat tiga jenis papan mikropengawal Arduino yang paling popular terutamanya untuk beginner. Antaranya ialah:
- Arduino Uno
- Arduino Nano
- Arduino Mega
Perbezaan di antara ketiga-tiga jenis papan mikropengawal Arduino ini yang pertama semestinya pada saiz dan reka bentuk. Selain itu, ciri-ciri spesifikasi juga mempunyai beberapa perbezaan bagi memenuhi keperluan aplikasi setiap papan mikropengawal.
Untuk beginner, amat disarankan untuk bermula dengan papan Arduino Uno kerana reka bentuk dan kedudukan pin yang mudah untuk dipelajari selain kos yang rendah.
Papan Arduino Nano pula sesuai untuk mereka yang sudah biasa dengan penyambungan litar elektronik dan mahu membina projek yang mementingkan saiz yang kecil.
Akhir sekali, papan Arduino Mega pula amat sesuai untuk projek yang sedikit kompleks dan yang memerlukan banyak sensor atau output seperti lampu LED dan Motor DC.
Komponen pada Arduino
Di sini kita menggunakan Arduino Uno sebagai contoh. Secara asasnya, papan mikropengawal Arduino mempunyai beberapa komponen penting antaranya:
- Chip mikropengawal – Sebagai nadi utama papan mikropengawal
- Input analog – Untuk menyambungkan sumber input analog kebiasaannya sensor
- Pin Digital – Untuk menyambungkan input atau output digital
- Suis reset – Untuk mereset operasi papan mikropengawal
- Port USB – Untuk menyambung kabel USB bagi tujuan pengaturcaraan atau sumber kuasa
- Port kuasa – Untuk menyambung sumber kuasa
Apa yang Arduino boleh buat?
Arduino amat popular dikalangan penggemar hobi elektronik, reka cipta, mahupun pelajar universiti dan sekolah (pelajar tahun 5 pun dah guna Arduino dalam subjek Reka Bentuk Teknologi tau). Hal ini disebabkan oleh kelebihan Arduino yang memudahkan kerja-kerja membina prototaip dan projek sistem berasaskan elektronik. Antara contoh projek yang boleh dibina menggunakan Arduino adalah: robot, sistem smart home, sistem smart garden, dan macam-macam lagi. Selain itu, dari segi pendidikan pula, Arduino merupakan salah satu platform yang interaktif untuk mula belajar mengenai pengaturcaraan dan litar elektronik.
Bagaimana nak program Arduino?
Arduino mempunyai software pengaturcaraannya yang tersendiri yang dikenali sebagai Arduino IDE (Integrated Development Environment) dan boleh dimuat turun secara PERCUMA melalui laman web rasmi Arduino. Software ini membolehkan anda mengaturcara papan mikropengawal Arduino dengan bahasa pengaturcaraan C.
Gambar di atas menunjukkan paparan pada laman web rasmi Arduino ketika anda ingin memuat turun software Arduino IDE. Pada masa artikel ini ditulis, software ini telah pun tersedia pada versi 1.8.15 dan terdapat pilihan untuk beberapa versi sistem pengoperasian seperti Windows, Linux, dan Mac OS.
Gambar di atas pula menunjukkan paparan software Arduino IDE yang telah di install. Di sini lah anda boleh mula menulis kod pengaturcaraan dan memuatnaiknya ke dalam papan mikropengawal Arduino.
Bagaimana nak bermula?
Jika anda berminat untuk mula mempelajari Arduino dan membina projek elektronik sendiri, kami mencadangkan untuk anda mendapatkan kit Arduino sebagai langkah permulaan. Kit Arduino telah didatangkan dengan komponen-komponen sokongan yang anda akan perlukan di dalam proses anda belajar nanti. Jadi anda tidak perlu risau lagi hendak memilih komponen tambahan yang mana satu dan tidak perlu risau proses pembelajaran anda akan tergendala oleh kerana kekurangan komponen sokongan. Di sini kami sertakan link untuk kit Arduino yang terdapat di Denakan Technologies.
Arduino Compatible UNO DIP Kit Basic Beginner RBT
Arduino Compatible UNO DIP Kit Basic Beginner ini didatangkan dengan komponen-komponen yang lengkap untuk beginner pada kos efektif. Namun, jika anda mahukan kit yang sedikit advance lagi untuk kegunaan masa hadapan, anda boleh dapatkannya di sini. Selamat mencuba 🙂
Berapa harga kit asas ?
Kit asas bermula daripada RM50
Salam,,, bagaimana pembelajaran ini membantu dlm pendapatan sampingan,,
Wasalam tuan, terima kasih kerana menghubungi kami. Terdapat banyak peluang pendapatan daripada kemahiran Arduino. Antaranya adalah kebolehan untuk kita mencipta inovasi yang boleh digunapakai di dalam perniagaan seperti sistem pertanian pintar.
Pendapatan sampingan ,, bidang pekerjaan ,,, atau lain²